
Barcelona di tangga kedua liga kerana beza gol dengan Real Madrid
Hatrik kedua Lionel Messi dalam tempoh lapan hari meletakkan jumlah jaringannya musim ini kepada 34 gol, ketika Barcelona menewaskan Zaragoza 4-2 kelmarin, untuk berada di tangga kedua La Liga di belakang Real Madrid.
Penyerang Argentina itu, yang mencatat hatrik hujung minggu lalu ketika bertemu Valencia, kini mendahului senarai penjaring liga dengan 25 gol selepas merobek pertahanan Zaragoza dengan kemahiran menggelecek serta tindakan penyudah yang berkesan.
“Dia pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,” kata Presiden Barcelona, Joan Laporta. “Messi menanduk masuk hantaran lintang Pedro Rodriguez pada minit kelima, tetapi rembatan kencangnya pada minit ke-66 menjadi bukti kehebatannya.” Selepas mencuri bola dari kawasan tengah, dia menggelecek seorang pemain sebelum memperdaya pemain pertahanan, Matteo Contini, sehingga terjatuh. Dia kemudian menewaskan penjaga gol Roberto Jiminez dengan tendangan leret yang menggamatkan penyokong di stadium La Romareda.
“Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan pemain ini,” kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola. Gol ketiga Messi, yang juga melengkapkan hatrik kelima sepanjang kariernya, hasil tendangan lencong pada minit ke-78.
“Semua gol hasil kerjasama pasukan, saya hanya bernasib baik dapat menjaringkannya,” kata Messi. Adrian Colunga kemudian membalas dua gol untuk Zaragoza sebelum Messi memaksa Contini menjatuhkannya di dalam kotak penalti, dan Zlatan Ibrahimovic menyempurnakannya.
Madrid dan Barcelona masing-masing mengumpul 68 mata, tetapi Madrid mendahului dengan kelebihan perbezaan gol. Mallorca naik ke tangga keempat selepas menewaskan Atletico Madrid 4-1, manakala Valencia kekal di tangga ketiga selepas menang 2-0 ke atas Almeria. – AP







