Messi sandaran robek gawang Real Madrid

Posted by : Kazuyama | Monday, March 22, 2010 | Published in



Perjuangan Barcelona merebut kejuaraan La Liga daripada Real Madrid kini bergantung sepenuhnya kepada prestasi bintangnya, Lionel Messi yang menjaringkan lapan daripada 10 gol terakhir buat penyandang juara itu.

Barca tidak bermain pada tahap sebenar sejak akhir-akhir ini tetapi kerana Messi, mereka masih bersaing rapat dengan pendahulu liga, Real dengan hanya dibezakan menerusi jaringan gol.
Menjelang pertemuan dengan Real Zaragoza minggu ini, jurulatih Pep Guardiola bagaimanapun menekankan kepentingan bermain secara berpasukan. “Apabila saya bercakap mengenai pasukan, tidak bermakna saya mahu memperkecilkan Messi,” kata Guardiola. “Memang jelas Leo (Messi) amat penting kepada kami kerana dia adalah pemain terbaik dunia, sama seperti Michael Jordan dalam bola keranjang.

“Sasaran ialah melihat dia terbabit sebanyak mungkin dalam permainan dan mendapat bola di kawasan merbahaya - tempat paling disukainya di atas padang. Kelincahannya memberi inspirasi kepada rakan sepasukan.”

Messi menjaringkan dua gol ketika Barcelona menyingkirkan Stuttgart untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Rabu lalu, dan sebelum itu melakukan hatrik ketika menewaskan Valencia 3-0.

Real pula berdepan Sporting Gijon dan pemain pertahanan, Alvaro Arbeloa berkata, kualiti Barcelona menyebabkan pasukannya lebih bersemangat untuk menewaskan mereka dan merampas gelaran juara.
“Barcelona bermain pada tahap tinggi sejak tahun lalu, jadi apabila persembahan mereka merudum, orang ramai akan bercakap mengenai krisis,” kata Arbeola. “Saya tidak percayakan ini dan menganggap mereka masih lagi pasukan terbaik dunia.” – AFP

(0) Comments

Leave a Response

Feed Shark