
Sentuhan ajaib Lionel Messi membawa pasukannya, Barcelona, yang juga penyandang juara mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menang besar 4-0 ke atas VfB Stuttgart, semalam.
Messi meledak dua gol, termasuk jaringan menarik pada minit ke-13, selain merencanakan gol kedua pasukannya yang disempurnakan oleh Pedro, sebelum jaringan Bojan Krkic melengkapkan kemenangan dengan agregat 5-1.
Kemenangan itu melayakkan Barca ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut, dan menyelamatkan maruah kelab Sepanyol selepas dua kelab dari negara tersebut, Real Madrid dan Sevilla, tersingkir.
“Hanya Manchester United yang mampu layak ke suku akhir dua musim berturut-turut sebagai penyandang juara sebelum ini, dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain terhadap apa yang mereka lakukan.
“Sekali lagi menjadi antara pasukan yang layak ke suku akhir dan dapat terus bersaingan dengan mereka, ia memberi kami rasa teruja,’’ kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.
Perlawanan menarik yang dimaksudkan oleh Guardiola adalah skil tinggi yang dipamerkan oleh Messi.
Selepas mendapat bola di kawasan pasukan pelawat, dia membawa bola ke depan pertahanan Stuttgart melepaskan sepakan kaki kiri, yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol pasukan lawan, Jens Lehmann.
Pemain Terbaik Dunia FIFA itu menjadi pencetuskan gerakan gol pasukannya sembilan minit kemudian.
Messi melakukan hantaran menarik tepat kepada Yaya Toure di penjuru kiri dan pemain penyerang, Pedro tiba tepat pada masanya untuk menyambar bola silang pemain Ivory Coast itu, sebelum melakukan sepakan rendah.
Gerakan bijak oleh Messi untuk Toure melakukan percubaan gol pada minit ke-55, tetapi sepakan lemah pemain itu berjaya ditepis oleh Lehmann.
Messi sekali lagi menewaskan Lehmann menerusi sepakan rendah dari sudut sukar di dalam kawasan penalti, untuk gol kelapan dalam empat perlawanan terakhirnya di semua kejohanan, yang meranapkan peluang kebangkitan Stuttgart.
Ketika Barca terus mendominasi perlawanan, Messi hampir mencipta hatrik menerusi tandukan pada minit ke-68, namun diselamatkan oleh Lehmann, sebelum Krkic melengkapkan kemenangan besar Barca apabila menjaringkan gol terakhir selepas menggantikan Andres Iniesta.
Jurulatih Stuttgart, Christian Gross berkata, tersingkirnya Real Madrid kepada Olympique Lyon minggu lalu, mungkin memberi motivasi tambahan kepada pemain Barca.
“Mereka pasukan terbaik di dunia dan apabila mereka mendahului pada perlawanan pertama, adalah sangat sukar buat kami kerana mereka beraksi di depan penyokong sendiri,’’ katanya.
Undian perlawanan suku akhir akan diadakan hari ini, dan berdasarkan prestasi mereka semalam, Barcelona sekali lagi merupakan pasukan yang harus dielak.-Reuters


(0) Comments
Leave a Response