
Pemain Barcelona pamer persembahan taraf legenda
Lionel Messi mendapat pengiktirafan dalam senarai idola sukan dunia apabila dia dibariskan status sama dengan legenda, Diego Maradona dan Michael Jordan selepas penyerang Barcelona itu menyajikan persembahan terpuji dalam Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.
Selepas merakamkan jaringan hatrik ketika menentang Valencia dalam Liga Sepanyol, Ahad lalu, Messi tampil menyumbat dua gol dan mencipta satu lagi peluang membantu Barcelona membelasah VfB Stuttgart 4-0 di Nou Camp dalam perlawanan kedua kelompok 16 terakhir untuk gergasi Sepanyol itu layak ke suku akhir dengan agregat 5-1. “Saya berasa sudah pasti dia pemain terbaik di dunia dan peminat ada hak membuat perbandingan dengan Diego Maradona,” kata jurulatih Stuttgart, Christian Gross.
“Adalah menakjubkan apabila anda memikirkan dia hanya berusia 22 tahun. Dia amat hebat.”
Penyerang Argentina itu turut menerima kata-kata pujian daripada jurulatih Barca, Pep Guardiola.
“Pemain terbaik lazimnya beraksi baik,” kata Guardiola. “(Michael) Jordan melakukan bersama Bulls, (Kobe) Bryant dengan Lakers dan Messi melakukannya di sini.
“Kami mahu dia kekal bersama kami kerana dia adalah terbaik dan kami tidak mahu menukar dia dengan sesiapa.”
Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata, antara kekuatan Messi adalah dia tidak bersifat berseorangan dalam permainan dengan memberi umpanan kepada lawan dalam keadaan dia selesa untuk menjaringkan gol.
“Orang pertama untuk menunjukkan semangat dalam pasukan adalah Messi,” kata Laporta. “Bakat yang ada padanya yang menghiburkan penonton memberi suntikan kepada rakan lain meningkatkan tahap permainan pada saat penting.”-Reuters


(0) Comments
Leave a Response